Friday, March 21, 2008

BN kekal Prestasi Cemerlang Di sarawak

Dipetik dari berita harian Online

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak menang besar di 29 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini, dengan cuma kalah di satu kawasan, manakala keputusan bagi satu lagi kawasan iaitu Parlimen Hulu Rajang, ditangguhkan sehingga ke petang ini.Penangguhan keputusan di Hulu Rajang disebabkan pengundian di dua kawasan perlu diadakan semula, selepas bot yang membawa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Uma Sekapan Piit dan Uma Balo Kasing Long Amo, karam berikutan arus deras pada kira-kira jam 10.10 pagi semalam.Hanya 26 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dipertandingkan, selepas lima calon BN menang tanpa bertanding iaitu Norah Tun Rahman di Tanjong Manis, Datuk Wahab Dolah (Igan), Alexander Nanta Linggi (Kapit), Aaron Ago Dagang (Kanowit) dan Joseph Entulu Belaun (Selangau).Daripada 25 kerusi keputusannya diumumkan malam tadi, BN cuma tewas di Bandar Kuching, yang sememangnya disandang DAP sebelum ini, tetapi menang besar di 24 lagi kawasan. Keputusan pertama diketahui seawal jam 7.20 malam tadi apabila calon BN di Parlimen Lawas, Henry Sum Agong, yang mendapat 8,526 undi, mengalahkan calon PKR, Japar Suyut, yang mendapat 734 undi. Calon PKR itu turut hilang wang pertaruhan.Keputusan pilihan raya umum di Sarawak kali ini turut menyaksikan semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dari Sarawak menang termasuk Entulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menang tanpa bertanding di Selangau, pada hari penamaan calon.Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, menang di Miri apabila memperoleh 19,354 undi mengalahkan pencabarnya, Fong Pau Teck (DAP) yang mendapat 14,138 undi.Empat lagi Timbalan Menteri mengekalkan kerusi masing-masing ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Tiki Lafe, di Parlimen Mas Gading; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Uggah Embas (Betong); Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Joseph Salang Gandum (Julau) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Robert Lau Hoi Chew.Dua Setiausaha Parlimen yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Yong Khoon Seng di Stampin dan Datuk Rohani Abdul Karim di Batang Lupar.Kejayaan paling bermakna tentunya bagi calon BN dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Stampin, Sibu, Lanang dan Sarikei, yang dianggap sebagai kawasan panas sebelum ini dengan pencabar terdekat mereka daripada DAP.DAP bagaimanapun berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Kuching menerusi penyandangnya, Chong Chieng Jen. Chong memperoleh 22,901 undi berbanding calon BN yang juga Ketua Pemuda SUPP, Alan Sim Yaw Yen yang hanya mendapat 12,949 undi.Chong juga berjaya menambah jumlah majoritinya kepada lebih tiga kali ganda kepada 9,952 undi, selepas hanya memperoleh majoriti 2,041 undi pada 2004.DAP kalah di enam lagi kerusi ditandinginya. PKR kalah teruk di semua 12 kerusi ditandinginya, Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) kalah di semua tiga kerusi, Pas kalah di satu-satunya kerusi yang ditandinginya dan kesemua 13 calon Bebas turut tewas. Seramai 3 calon PKR dan tujuh calon Bebas turut hilang wang pertaruhan.

No comments: