Wednesday, March 26, 2008

Sebuah Ucapan lama dari Ketua Menteri yang dah lama

“...Saya mengucap syukur kepada Allah SWT kerana negeri kita sekarang telah begerak maju. Pertumbuhan ekonomi kita kini dua kali ganda cepat daripada dulu. Ini adalah kerana kerajaan sekarang giat berusaha melakukan banyak pembangunan. Sebelum saya teruskan ucapan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti SNAP Datuk James Wong dan saudara saya Datuk Adenan Satem yang juga telah menang tanpa bertanding semalam. Mungkin prestasi kita dalam pilihan raya ini boleh menjadi lebih baik lagi. Kelmarin saja kita sudah dapat 19 kerusi tanpa bertanding. Ini adalah 1/3 daripada 62 kerusi yang ditandingkan. Kemenangan ini menunjukkan negeri kita adalah aman dan rakyatnya bersatupadu dan juga rakyat sudah faham tentang tujuan kita berpolitik. Kita berpolitik adalah untuk kemajuan negeri dan juga supaya semua kaum di Sarawak ini dapat maju. Dalam penyusunan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya telah meminta pandangan saya tentang perubahan yang harus dilakukan. Saya telah meminta supaya kawasan Bidayuh dan kawasan Orang Ulu diberi lebih kerusi. Ini telah dapat dilaksanakan oleh Suruhanjaya itu.

Kita lakukan semua ini supaya rakyat boleh lebih maju. Kita tahu pada tahun-tahun 1960an, sampai awal 1980an semasa keadaan politik tidak begitu teratur, kita selalu bergaduh. Apakah yang kita dapat daripada politik begitu? Pada masa itu kita berpolitik cakap besar saja dan tidak menampakkan apa-apa hasil. Jalanraya yang sempurna pun tidak dapat kita bina. Tetapi hari ini kita telah dapat membuat jalan ini yang merintangi tengah-tengah hutan antara Batu Kawah dan Bau dengan sebuah jambatan besar di Batu Kawah. Ini semua dapat dilakukan oleh kerana kita adalah kerajaan Barisan Nasional yang tidak mahu bermain politik tidak menentu dengan caci mencaci, menjual propaganda dan berjanji bohong di sana sini kepada rakyat.

Di Bau ini ramai pemimpin politik terdiri daripada cerdik pandai seperti doktor dan akauntan. Tapi malangnya kebelakangan ini,semua pemimpin ini suka berlawan sama sendiri. Ini adalah tidak baik untuk kaum Bidayuh dan tidak harus berlaku kerana dalam semua kaum di Sarawak kaum Bidayuhlah yang paling ramai orangnya berpelajaran tinggi. Sayangnya kadang-kadang orang Bidayuh terpelajar ini tidak dapat menolong kaumnya sendiri. Kalau mereka tidak bekerjasama dengan orang Cina dan Melayu mungkin sekarang ini mereka masih berperang sama sendiri. Saya minta maaf menyatakan ini tetapi ianya benar. Saya dapati semakin ramai orang pandai terpelajar di dalam politik semakin tidak aman kaum Bidayuh kerana semua mahu merebut pangkat dan tempat dalam politik.

Di dalam politik yang diamalkan oleh PBB apabila ketua nombor satu kuat dia mahu yang nombor dua,nombor tiga dan seterusnya juga kuat. Itulah sebabnya dalam PBB sekarang hampir 100% orang pandainya menjadi ahli Dewan Undangan Negeri. Jadi saya mahu kaum Bidayuh berfikir: adakah saudara mahu main politik cara lama iaitu mementingkan diri sendiri seorang saja atau pun mahu pemimpin Bidayuh itu orang pandai yang boleh benar-benar memimpin kaum Bidayuh. Kalau ini tidak dapat dilakukan saya bimbang kemudian hari nanti Kaum Bidayuh akan berpecah belah.

Saudara semua tahu saya telah menubuhkan “Bidayuh Forum”, iaitu suatu badan tidak rasmi yang dianggotai oleh pemimpin Bidayuh dari semua parti politik di Sarawak.Tujuan pembentukan Bidayuh Forum ini ialah untuk memikirkan tentang cara memajukan kaum Bidayuh. Walaupun badan ini tidak 100% sempurna ianya telah dapat memberi kesan yang baik dengan memberi nasihat yang dapat kita gunakan untuk strategi pembangunan kaum Bidayuh. Oleh sebab itu saudara lihat banyak pembangunan telah dilaksanakan dalam kawasan Bau selepas saya menjadi Ketua Menteri jika dibandingkan dengan masa sebelumnya. Ini adalah kerana kita mahu kawasan ini maju.

Kita telah buat projek di Pedawan yang berharga berjuta ringgit yang akan menukar rupa coraknya dalam masa lima tahun akan datang. Di Serian juga banyak pembangunan telah dilakukan, banyak jalan baru dan juga skim-skim pembangunan tanah. Ini adalah hasil daripada nasihat dan pemikiran pemimpin Bidayuh yang pandai itu. Jalan yang baik juga telah dibina antara Bau dan Lundu dan tanah di sekeliling jalan ini semua sudah dibuka.

Saya masih ingat dulu pada tahun 1981 Bau boleh dikatakan sebagai sebuah bandar yang setengah tidur.Lombong emasnya pada masa itu masih ada tapi emas yang dikeluarkan kadang-kadang tidak sampai 10 kati setahun. Selepas itu saya terpaksa memujuk sebuah syarikat supaya membeli semua lombong kecil itu dan gabungkannya menjadi sebuah syarikat besar. Malangnya ada orang di Bau telah menghasut taukeh-taukeh Cina di sini dan mengatakan bahawa dengan pembentukan syarikat lombong besar ini bandar Bau akan tenggelam dalam lubang robohan. Lubang robohan ini bukan kerana orang gali emas sekarang.Bandar Bau adalah terletak di atas bekas lombong emas besar yang dipunyai oleh Borneo Company yang beroperasi pada masa Rajah Brooke dulu.Seluruh kawasan Bau adalah bekas tempat lombong Borneo Company ini, dan apabila mereka sudah berhenti melombong mereka telah menimbus balik lubang itu tetapi tidak dengan cara betul. Pada masa British dulu mereka tidak membuat peta untuk menunjukkan lubang-lubang ini. Mereka telah menutup lubang itu dengan tanah saja. Itulah sebabnya setelah lama tanah di Bau ini runtuh. Tanah runtuh inilah bekas lubang lombong Borneo Company itu yang cabut pergi apabila mereka sudah habis menggali semua emas di sini. Orang yang tidak tahu sejarah tidak tahu ini semua.

Oleh yang demikian kalau kita disuruh kita boleh tutup lombong besar yang baru ini. Kita tidak susah.Yang susah ialah rakyat Bau kerana Bau akan kembali menjadi mundur seperti dulu – tidak ada perubahan dari segi kemajuan. Jadi apakah yang penduduk Bau mahu? Mahu Bau terus mundur atau pun mahukan pembangunan? Tetapi, da yang menghasut bahawa oleh kerana lombong besar ini Bau akan tenggelam dalam lubang robohan. Satu lagi perkara saya ingin nyatakan sekarang: Bau telah dapat maju dalam beberapa tahun yang lepas. Apa sebabnya? Sebabnya ialah kerana kerajaan kita Barisan Nasional mempunyai dasar untuk mengatur pembangunan Bau dengan baik. Kita sedang berusaha mencari tempat untuk membina bandar Bau baru jauh daripada lubang robohan dan tanah runtuh di sini. Walaupun belanjanya besar kita akan berusaha membina bandar baru itu kerana kita mahu Bau boleh maju seperti tempat-tempat lain dalam Sarawak.

Saudara fikirlah sendiri bahawa kalau Bau tidak dalam Barisan Nasional, ia pasti ketinggalan dari segi pembangunan. Hanya Kerajaan Barisan Nasionallah yang dapat membawa keamanan dan kemajuan kepada negeri Sarawak. Orang perseorangan tidak sekali boleh melakukan ini. Saudara semua pun tahu bahawa di setiap pilihan raya saya telah memilih dan melantik semakin ramai orang pandai dan terpelajar untuk menjadi pemimpin. Begitu juga dalam perkhidmatan awam kerajaan saya pilih orang pandai juga untuk dinaikkan pangkat. Contohnya, Pengarah Sarawak Planning Unit sekarang ialah Wilson Baya, iaitu seorang Bidayuh. Jawatan itu adalah penting dan kuasanya besar. Ini membuktikan bahawa saya bukannya anti-Bidayuh. Saya nyatakan ini kerana ada orang kata saya sengaja mahu buang orang Bidayuh daripada perkhidmatan kerajaan dan oleh sebab itulah saya suruh Peter Nansian berhenti daripada jawatan kerajaannya untuk bertanding di Bau. Ini semua tidak betul dan propaganda semata-mata.

Kalau saya mengambil seorang itu daripada jabatan kerajaan untuk menjadi pemimpin politik saya bertanggung jawab ke atasnya. Kalau dia pandai dan politiknya betul dia akan diberi peluang naik dalam kerjaya politiknya. Ini cara saya. Sebab itulah saya lantik orang seperti Talib Zulpilip, Pengerusi SEDC, menjadi calon di Jepak. Adakah ini bermakna saya benci pada orang pandai? Atau pun saya benci pada orang Melanau maka saya suruh Talip Zulpilip keluar daripada perkhidmatan awam kerajaan dan masuk politik? Saya melantik mereka kerana kita sudah ada rancangan. Saya tahu tiap-tiap tempat di Sarawak memerlukan pemimpin akar umbi yang istimewa yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat supaya mereka dapat maju dengan sempurna. Kerajaan dahulu sebelum saya melantik pemimpin dengan cara sebarangan. Tapi saya lebih cermat, saya pilih pemimpin yang bermutu yang mahu memimpin rakyat dengan baik.

Projek yang paling besar yang akan dapat menukar nasib Bumiputera dalam negeri kita ini ialah mencantumkan semua tanah pusaka bumiputra (temudak) supaya dapat dibangunkan menjadi ladang untuk mendapat hasil yang lumayan daripada tanah itu tiap-tiap tahun. Sekarang ini bumiputra mempunyai banyak tanah - lebih daripada satu juta hektar - tetapi tanah mereka tidak mengeluarkan hasil. Kalau tanah ini dapat mengeluarkan hasil dengan harga sekurang- kurangnya RM4,000 sehektar dalam setahun ini bermakna keseluruhan hasil tanah termuda berjumlah ialah RM4 bilion setahun.

Oleh itu janganlah kita bergaduh tentang perkara kecil-kecil. Kalau mahu berjuang, berjuanglah tentang perkara besar yang boleh membawa manfaat kepada kaum Bidayuh. Kalau tidak nanti kaum Cina, Melayu dan Iban akan maju kehadapan dan kaum Bidayuh akan ketinggalan kerana masih bergaduh sama sendiri. Kita mahu kaum Bidayuh sama-sama maju dalam negeri ini. Jangan ikut cara politik lama yang suka melagakan orang sana sini. Orang politik lama itu kalau mereka bagus tentu negeri ini sudah maju pada masa dulu.Saya terpaksa bercakap terus terang di sini kerana saya pemimpin negeri ini. Saya mahu satu saja. Saya mahu tiap-tiap kaum di Sarawak dapat mempunyai barisan kepimpinan yang baik, yang boleh bekerjasama dan membantu rakyat - bukan untuk kepentingan diri dia sendiri saja.

Saya ingin menyatakan di sini saya telah mendapat jaminan daripada semua pemimpin Bidayuh yang berpelajaran bahawa mereka bersetuju menerima saudara Peter Nansian sebagai calon untuk Bau. Sekarang kalau semua pemimpin Bidayuh seperti Wilfred Nissom daripada parti PBDS, Peter Minos dan John Nyigor daripada PBB dan mereka yang lain walaupun mereka bukan orang SNAP dapat bekerjasama dan mahu Peter Nansian menang ini adalah permulaan yang baik bagi kaum Bidayuh. Kita sudah lama dalam Barisan Nasional dan hanya dalam Barisan Nasional saja pemimpin Bidayuh boleh bersatu dan berjuang untuk kaum mereka. Kalau saudara mahu pilih parti lain atau pun calon bebas saya takut nanti kaum Bidayuh akan rosak, tidak merasa pembangunan dan akan ketinggalan.

Saya juga mahu menyatakan tiada siapa boleh mengalahkan Barisan Nasional dalam pilihan raya ini. Kebanyakan rakyat mahu kerajaan Barisan Nasional dikekalkan. Oleh itu kalau saudara mahu bersama kami jangan undi orang lain selain daripada calon Barisan Nasional. Hanya dalam Barisan Nasional saja kaum Bidayuh dapat menikmati banyak projek dan banyak pembangunan kerana orang belayar dalam satu perahu saja dapat maju ke hadapan bersama. Orang luar daripada perahu itu terpaksa berenang dan akan ketinggalan. Inilah nasihat saya pada hari kita membuka jalan baru ini. Dengan harapan semoga semua pemimpin Bidayuh dapat bersatupadu dan dengan harapan jalanraya ini akan membawa pembangunan kepada kaum Bidayuh saya isytiharkan Jalanraya Bau-Tondong ini dibuka dengan rasminya.”

pehin sri bujang senang : Ucapan pak uban pada tahun 1996 sekitar perasmian jalan raya di bau,antara isi kandungannya menyatakan tentang kuatny aparti barisan nasional di sarawak pada ketika itu,dan sekarang mungkin juga masih kuat tapi bagaiman pelihanraya umum yang berikut sapa tahu????


No comments: